Sunday, 9 December 2012

Merancang Kehamilan dan Kelahiran Bayi Anda


Source : Pa&Ma



Perancangan Rapi
Untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang kehamilan, rancanglah kehamilan dari awal agar tubuh anda cukup bersedia untuk berhadapan dengan saat itu nanti.  
Langkah 1: Merancang Kehamilan
  • Pastikan anda sudah mendapat suntikan rubela sebelum hamil. Tiga bulan sebelum hamil pula, wanita disarankan agar mengambil asid folik secukupnya untuk mencegah kecacatan saraf seperti spina bifida.
  • Masalah yang berpunca daripada genetik pula boleh dihindarkan jika wanita-wanita yang ingin hamil menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum mengandung.
  • Lebih baik jika kedua-dua suami isteri menjalani pemeriksaan untuk mengetahui jika mereka adalah pembawa penyakit genetik seperti hemofilia, Huntington’s, dan talasemia.
Langkah 2: Penjagaan Ketika Hamil
  • Untuk pengetahuan, lazimnya, kecacatan yang melibatkan organ tubuh bayi berlaku ketika trimester pertama kehamilan. Inilah sebabnya penjagaan diri dan kandungan amat penting terutamanya pada peringkat permulaan kehamilan. Makanlah pelbagai jenis makanan yang kaya dengan karbohidrat, protein dan vitamin. Karbohidrat bertindak memberikan tenaga kepada anda dan bayi yang semakin membesar. Protein pula penting untuk pertumbuhan dan pembinaan tisu-tisu tubuh ibu dan bayi. Manakala vitamin dan zat galian diperlukan untuk mencegah ibu daripada jangkitan penyakit dan untuk pertumbuhan bayi di dalam kandungan.
  • Pada masa yang sama, ibu hamil yang ada masalah kesihatan dinasihatkan agar sentiasa memastikan penyakit yang dialaminya dalam keadaan terkawal. Elakkan daripada mengambil ubat-ubatan sendiri kerana ini boleh memberi kesan buruk kepada bayi di dalam kandungan. Dapatkan kebenaran daripada doktor O&G anda sebelum mengambil sebarang ubat.
  • Sebenarnya, untuk memastikan ibu dan anak di dalam kandungan sihat dan selamat, penjagaan kesihatan amat penting. Paling penting, amalkan gaya hidup sihat seperti tidak merokok dan menjaga kebersihan diri sejak sebelum hamil lagi.
Langkah 3: Persediaan Bersalin
  • Ujian darah bagi ibu hamil perlu dilakukan bagi mengenal pasti adakah bayi di dalam kandungan berisiko mengalami penyakit tertentu seperti sindrom Down dan kecacatan tiub neural.  
  • Selain itu, ibu hamil haruslah bersiap sedia untuk berhadapan proses kelahiran dengan mengikuti kelas antenatal dan berbincang bersama pakar perbidanan dan sakit puan tentang sebarang kemungkinan yang bakal berlaku semasa kelahiran. Dengan cara ini komplikasi semasa proses kelahiran dapat dielakkan.  

No comments:

Post a Comment